Pengarah Fotografi Mohd. Noor Mohd Kassim atau Madnor yang memulangkan dua trofi yang dimenanginya beberapa tahun lalu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini berkata, langkah itu menunjukkan suatu perkembangan sihat dalam arus industri perfileman negara bagi memajukan lagi industri itu.
“Ini menampakkan industri perfileman ada sinar baharu untuk pergi lebih jauh dan bersaing dengan industri luar kerana keterbukaan itu dapat menggalakkan persaingan lebih sihat dalam industri tanah air,” katanya ketika dihubungi Bernama dengan memetik laporan berkenaan.
Beliau mengulas keputusan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak yang merungkai isu pemisahan kategori filem yang dipertandingkan dalam FFM.
Menteri itu turut memutuskan untuk mewujudkan kategori baharu Anugerah Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam meminta Finas supaya tidak memisahkan kategori filem yang dipertandingkan pada FFM 2016.
Mohd. Noor memulangkan semula dua trofi bagi kategori sinematografi terbaik bagi filem ‘Setem’ dan ‘Hikayat Merong Mahawangsa’ yang dimenanginya pada 2009 dan 2011 kepada Ketua Pengarah Finas Datuk Kamil Othman kerana tidak berpuas hati dengan penganjuran FFM tahun ini.
Beliau yang dicalonkan Anugerah Sinematografi Terbaik pada FFM pada September ini tetap dengan keputusan untuk tidak menyertai Festival ke-28 itu.
Katanya, soal trofi dikembalikan bukan menjadi ukuran sebenar, sebaliknya perpaduan dalam industri.
“Pulang trofi itu soal kedua, apa lebih penting perpaduan dalam filem menjadi satu platform untuk kita lebih bersatu-padu kerana filem itu sendiri mempunyai bahasa visual yang tersendiri dan itu sepatutnya kita perkemas untuk bersaing dengan filem luar,” katanya.
Mohd. Noor yang berkecimpung dalam industri perfileman sejak 1989, bagaimanapun menyerahkan kepada penganjur dan Finas dalam soal pencalonannya itu bagi filem ‘Bravo 5’.
Beliau berpendapat Finas perlu bekerjasama dengan persatuan filem bagi menganjurkan FFM agar dapat merancakkan pengiktirafan berprestij kepada penggiat filem tanah air selain menjemput juri luar seperti Indonesia dan Thailand.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS), Alfie Palermo turut menyanjung tinggi keprihatinan Salleh menghentikan segregasi bahasa di dalam FFM itu dapat menghangatkan persaingan yang sihat dalam industri filem.
“Kami ingin ucapkan terima kasih pada pihak Datuk Seri (Salleh), ini petanda baru kepada industri perfileman negara untuk membuka peluang kepada semua rakyat (penggiat filem) untuk bertanding pada satu level yang adil,” katanya.
Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih pada FINAS dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) kerana sudi berbincang dengan mereka serta sekalian warga industri yang bersama-sama menyuarakan pendapat sepanjang isu itu.
“Kami menganggap ini sebagai satu kejayaan bersejarah dalam menggalakkan persaingan yang lebih sihat demi memajukan lagi industri perfileman negara,” katanya.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi turut senada menyokong penuh tindakan menteri berkaitan yang menyifatkannya sebagai keputusan tepat memandangkan Salleh bukan sahaja seorang menteri yang mengetahui masalah industri seni malah pernah menjadi pengerusi Finas.
“Tahniah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak. Filem adalah universal dalam menyampaikan mesej kemasyarakatan, bahasa, budaya dan sebagainya melalui ekspresi visual.
“Kita harus terus menyokong filem-filem Malaysia yang membawa identiti negara. Ini adalah satu tanggungjawab bersama.
“Jangan politikan industri seni yang kita sayangi ini supaya tidak tergadai maruah dan jati diri bangsa,” kata Zed. – Bernama