Pengalaman seram pelakon dalam filem Aliff dalam 7 dimensi

Naskhah gabungan genre seram dan fiksyen, filem lakonan Izzue Islam, Juliana Evans, Alif Satar dan Kaka Azraff tersebut mengisahkan kehidupan Aliff lakonan Izzue Islam yang mempunyai kemampuan melihat makhluk halus.

Majlis pratonton yang diadakan baru-baru ini melibatkan pelakon filem tersebut yang turut berkongsi pengalaman yang dilalui semasa penggambaran.

Pelakon utamanya, Izzue Islam berkata, sepanjang penggambaran dilakukan, dia kerap mengigau dan terkejut sewaktu tidur.

“Sewaktu berada di set penggambaran, saya tidak mengalami sebarang gangguan kecuali kerap mengigau dan terkejut sewaktu tidur.

“Bagaimanapun saya merasakan ia berlaku disebabkan kerana terlalu terbawa-bawa dengan karakter atau kepenatan,” memetik laporan sebuah portal.

Enggan memikirkan perkara tersebut dengan serius, Izzue mengakui teruja menantikan reaksi peminat selain tidak menolak sekiranya ditawarkan berlakon dalam filem bercorak seram selepas ini.

Sementara itu, Juliana Evans pula memberitahu, pengalaman menjayakan watak Anna yang dirasuk hantu antara cabaran hebat dalam filem tersebut.

Filem Aliff Dalam 7 Dimensi merupakan naskhah kedua genre seram lakonannya selepas Hantu Bonceng.

Juliana sangat bersyukur tidak mengalami sebarang kejadian aneh atau peristiwa mistik sepanjang menjayakan filem tersebut.

“Membawakan watak yang dirasuk saka merupakan satu perkara yang agak memenatkan kerana saya perlu mempamerkan karakter berbeza dan menjadi lebih kasar,” katanya.

Tambahnya, Juliana gemar melakukan perkara mencabar namun sekiranya diberi peluang untuk melihat makhluk halus adalah sesuatu yang mustahil baginya untuk diterima.

Related Articles