Shila yang juga Pengerusi Eksekutif Koperasi Permodalan Mualaf berkata, ibunya itu sudah lama menunjukkan minat terhadap Islam namun mula menyuarakan hasrat melafazkan syahadah sekitar dua minggu lalu.
“Saya sehingga sekarang seakan tidak percaya apabila ibu saya sudah memeluk Islam dan ia saat yang cukup istimewa buat diri saya.
“Alhamdulillah ibu sudah pun melafazkan syahadah dan saya bersyukur kerana akhirnya doa saya selama ini dimakbulkan Allah,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Wong telah diislamkan oleh anak lelakinya, Muhammad Johan Haiqal Abdullah, 37 dengan disaksikan Ustaz Kamarudin Abdullah selepas waktu Zohor.
Beliau yang menganut agama Buddha sebelum ini mendapat hidayah memeluk Islam apabila melihat tiga anaknya menjalani kehidupan sebagai Muslim yang taat pada agama.
“Walaupun anak-anak saya dan cucu beragama Islam, mereka tetap menghormati saya. Jadi itulah menjadi perkara utama saya memilih Islam,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Shila berkata, sebelum ini ibunya sering bertanya pelbagai soalan tentang Islam dan sejak itu dia mula sedar minat wanita berkenaan.
Katanya, walaupun dia tidak pernah memaksa ibunya menukar agama namun dia sering membimbing ibunya sekiranya wanita itu bertanyakan soalan kepadanya.
“Ibu memang sudah lama menunjukkan minat kerana dia sering bertanya pelbagai soalan tentang Islam.
“Apabila dia bertanya saya akan terangkan satu persatu namun tidak pernah memaksanya menukar agama kerana sedar ia perlu datang daripada kerelaan hatinya,” jelasnya.
Sementara itu, Shila berkata, ibunya ada menyatakan hasrat untuk menghadiri kelas agama bagi memantapkan lagi kefahamannya tentang Islam. – Mstar