Radhi berkata, kesilapan silam dirinya berkaitan dadah memberi kesan kepada semua termasuk ahli kumpulan OAG dan mereka yang menaikkan namanya dalam industri.
“Penagihan dadah menjadi punca OAG tidak mampu mengekalkan nama dalam industri dan semua itu berpunca daripada saya,” katanya ketika ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2016 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS), pada Rabu.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Radhi sebelum itu melancarkan buku berjudul The OAG Story : How’s 60’s TV Changed The 90’s yang ditulis M. Zulkifli.
Turut hadir adalah anggota asal OAG, Kenny Lam dan orang penting di sebalik pengenalan OAG, Paul Moss dan Ahmad Izham Omar.
Buku tersebut menceritakan bagaimana OAG terbentuk sejak awal hinggalah mereka berjaya mencipta fenomena dalam industri seni tempatan.
“Semuanya berkisar mengenai perjalanan OAG sejak dulu hingga sekarang dan ada sedikit cerita mengenai saya dan penagihan dadah.
“Saya tak cerita banyak mengenai itu kerana tidak mahu ada elemen negatif dalam buku ini,” katanya.