Nora Danish dakwa isu cukai diputar belit

Nora yang sebelum ini popular menerusi sitkom Puteri berkata pihaknya akan menyiasat individu mahupun pihak yang cuba mensensasikan kenyataannya.

“Isu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), tidak buat salah pun kena marah. Ini mesti ada yang putar belit penyampaian Nora.

“Tidak apa, saya dalam perjalanan pulang ke Malaysia, Nora akan periksa siapa yang cuba sensasikan berita ini,” tulisnya menerusi laman Instagram.

Difahamkan aktres itu ketika ini dalam perjalanan kembali ke Malaysia dari Korea Selatan.

Selain kenyataan itu, Nora juga turut memuatkan beberapa hashtag termasuklah #haruslahbayarcukai dan #sayabayarcukai.

Nora sebelum ini membuat saranan kepada LHDN bagi diberi pelepasan cukai bagi menampung kos “penampilan diri” untuk selebriti dan artis memetik laporan Utusan Malaysia.

 

Berikut petikan penuh sebahagian temubual Nora bersama akhbar tersebut berhubung isu cukai yang kini mengundang kontroversi.

Soalan: Sebagai antara artis yang berjaya dalam bidang lakonan dan perniagaan, ketika ini juga ramai artis sedang “dikejar” oleh LHDN, Nora bukan salah seorang daripadanya?

Nora: Macam saya cakap, dikejar itu tidaklah. Sebab saya membayar cukai pada waktu yang sudah ditetapkan. Bagi saya jumlah yang perlu dibayar tidaklah terlalu mengejutkan.

Ini memandangkan saya sudah membayar sejak dari awal, setiap tahun, jadi ia masih dalam jumlah yang okay sebab tiada tunggakan.

Soalan: Ada juga artis yang lari daripada cukai ya, bagaimana Nora melihat isu ini?

Nora: Bagi saya sebagai rakyat Malaysia memang ini adalah tanggungjawab kita. Cuma apa yang saya harap ada sedikit pelepasan buat selebriti macam kami ini. Bukan apa, dalam waktu sekarang kami banyak mengeluarkan wang untuk penampilan diri.

Jadi, ini adalah sebahagian daripada kerja dan ia barangkali boleh dimasukkan sebagai kos kerja bagi kami. Kalau boleh pihak LHDN pertimbangkan hal-hal sebegitu, ia akan lebih baik buat kami para artis dan selebriti lain yang amat bergantung kepada penampilan dan personaliti diri apabila muncul berhadapan dengan khalayak.

Related Articles