Lydiawati diberi amaran keras gagal hadir awal di mahkamah

Majistret Haslinda A. Raof memberi amaran itu selepas Lydiawati, 51, atau nama sebenarnya Salina Zaimon, yang memakai jubah dan bertudung hitam dipanggil ke kandang tertuduh pada pukul 11.43 pagi.

Ketika ditanya Majistret Haslinda, Lydiawati memberi alasan punca kelewatan adalah kerana dia baru sahaja diberitahu yang dia perlu hadir di mahkamah hari ini.

Majistret Haslinda kemudian bertanya bagaimana tertuduh tidak tahu dia perlu hadir di mahkamah hari ini sedangkan mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan kes pada prosiding lepas.

Peguam Fatimah Zahrah Ramli yang mewakili Lydiawati memaklumkan tertuduh menunggu pegawai penyiasat (IO) menghubunginya sebelum hadir di mahkamah.

“Itu bukan tanggungjawab IO, itu tanggungjawab tertuduh sendiri. Saya batalkan waran tangkap dan memberi amaran keras, jika lain kali terlewat lagi, saya naikkan jaminan,” kata Majistret Haslinda.

Terdahulu, mahkamah yang mula bersidang pada jam 9 pagi telah memanggil pelakon itu pada pukul 10.37 pagi dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya kerana tertuduh dan penjaminnya tidak hadir.

Bagaimanapun pada pukul 11.13 pagi, Lydiawati tiba di mahkamah ditemani seorang rakan.

Dalam prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak memaklumkan dokumen berkaitan kes itu telah pun diserahkan kepada pihak pembelaan.

Pada 16 Mei lepas, Lydiawati yang terkenal menerusi filem ‘Suami, Isteri dan ….’ mengaku tidak bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Sharifah Harnizam Wan Musa, 43, seorang peniaga warga Brunei dengan memukulnya
menggunakan besi.

Ibu tunggal dua anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Hotel Safari 2, Jalan Mamanda 9, Ampang pada 6.30 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Pada 25 Mac lepas, Lydiawati telah memuat naik dua video menunjukkan dirinya memukul seorang wanita dalam akaun Facebook miliknya sehingga menjadi viral. – Bernama

Related Articles