Fahrin, 37 berkata peluang itu dianggap momen terindah dalam hidupnya apabila berpeluang melihat isterinya, Elina Hani melalui proses kelahiran bayi mereka.
Paling mengejutkan pelakon yang popular Maaf Jika Aku Tak Sempurna itu turut diberi peluang untuk memotong sendiri tali pusat bayi berkenaan selepas selamat dikeluarkan.
“Macam-macam perkara muncul dalam fikiran saya ketika berada di situasi tersebut. Alhamdulillah akhirnya isteri dan anak selamat tanpa sebarang komplikasi. Ia juga secara tidak langsung mengingatkan saya kepada ibu yang pernah melahirkan saya dahulu,” ujarnya.
Tambahnya, bayi tersebut turut berkongsi tarikh kelahiran yang sama dengan isterinya iaitu 29 Saptember.
Menceritakan pengalaman bergelar bapa buat kali pertama, Fahrin berkata dia banyak membaca dan mempelajari teknik-teknik penjagaan bayi menerusi Youtube sebagai persedian menjaga bayi.
“Setakat ini saya belajar menerusia bacaan dan Youtube sahaja, jururawat yang menjaga isteri saya juga banyak beri tips dan ajar perkara-perkara yang penting dalam penjagaan bayi.
“Pada asalnya saya rancang untuk masuk kelas tapi kerana jadual sibuk terpaksalah belajar sendiri dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Fahrin dikurniakan bayi lelaki selepas Elena selamat bersalin secara normal pada Khamis lalu di Pusat Perubatan KPJ Damansara, memetik laporan mStar Online.