Salah seorang anggota kumpulan tersebut, Choon Fong berkata niat mereka mengadakan penggambaran tersebut pada asalnya adalah mahu menyatupadukan kaum melalui agama.
“Bagaimanapun, kami mengakui video muzik itu ada berlaku kesilapan. Namun ia sudah terlambat untuk memperbetulkannya setelah ia telah disiarkan kepada umum.
“Kami mengakui kesilapan ini dan ingin mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui media Taiwan baru-baru ini.
Kumpulan hip hop itu sebelum ini melahirkan perasaan terkejut dengan tangkapan ke atas Namewee pada 21 Ogos lalu dan tidak menjangkakan ia akan menjadi satu isu yang serius.
“Kami berkunjung ke tempat-tempat itu termasuk sebuah masjid di Pulau Pinang untuk merakamkan video muzik di bawah arahan pengarah,” katanya.
Pada 21 Ogos lalu, Namewee ditahan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana didakwa “mencemarkan tempat ibadat dengan niat untuk menghina agama.”
Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada Khamis lalu, selepas mahkamah menolak permohonan menyambung tempoh reman Namewee.
Sementara itu, Namawee dalam catatan di Facebook beliau meminta pihak berkuasa tidak memburu kumpulan hip hop dari Taiwan itu kerana dia merupakan individu yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembikinan klip video ‘Oh My God’.
Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee berkata, hanya dia seorang yang menghasilkan klip video itu, termasuk daripada segi konsep kandungan, lirik dan lagunya.
Jelas Namewee, ‘Oh My God’ adalah soundtrack untuk filem ‘The Big Power’ manakala kumpulan Taiwan, Nine One One (Jiu Yi Yi) hanya menyanyi dan berlakon dalam klip video itu.
“Jika anda mahu cari orang yang bertanggungjawab, sayalah orangnya,” katanya.