Kenapa perlu tuduh saya bayar Astro supaya isteri dapat lagu sesuai – Johan Nawawi

Kata Johan, dia sudah mendapatkan nasihat daripada bahagian siasatan jenayah siber Polis Diraja Malaysia Bukit Aman dan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Buat masa sekarang saya berdiam diri dahulu. Tetapi jika selepas ini masih ada komen-komen yang dilemparkan berbaur fitnah saya tak teragak-agak untuk membuat laporan polis.

“Saya sudah membuat beberapa paparan skrin akaun pengguna laman sosial beserta komen mereka yang memfitnah saya dan keluarga. Bagi saya perkara itu mengganggu ketenteraman kami sekeluarga,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Johan yang juga pencipta lagu Hanya Satu nyanyian isterinya menjelaskan perkara itu tercetus sejak minggu lalu apabila Nora didakwa menukar lagu daripada genre dangdut kepada rock pada minggu keenam pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga (GV 3).

Kemudian ia menambahkan lagi kemarahan segelintir pihak apabila Nora diberi tugasan menyanyikan lagu sendiri berjudul Sandiwara pada minggu ini.

“Kalau nak komen atau kritik berkenaan nyanyian tak mengapa, itu saya okey lagi. Tapi apabila sampai tahap memfitnah itu sangat keterlaluan.

“Kenapa perlu menuduh saya membayar pihak Astro agar isteri saya mendapat lagu yang sesuai dengannya? Tak ada sebab saya nak berbuat sedemikian. Lebih teruk apabila ada komen mengatakan isteri saya mempunyai hubungan sulit dengan VIP. Semua itu mengarut,” katanya.

Johan berkata, perkara sebegini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia menimbulkan persoalan dalam kalangan anak-anaknya yang turut membaca komen itu.

Semalam Johan memuat naik status di laman Instagram miliknya berkenaan sikap ‘kurang ajar’ segelintir pengguna laman sosial yang bertindak memfitah dirinya.

Menerusi status itu Johan menyelar tindakan mereka yang seolah-olah tidak sensitif dengan isu sebegini.

 

Related Articles