“Kenapa Elly marah saya sangat? Saya bukan perampas” – Faye Kusairi

Faye, 29, berkata hal ini bertitik tolak daripada keruntuhan rumahtangga Elly bersama bekas suaminya yang juga kekasih Faye, Azmi Hatta menyebabkan penyanyi itu mendakwa Faye pemusnah rumahtangganya.

“Saya nak tahu juga apa yang dia (Elly) marah sangat kepada saya? Saya bukannya perampas. Saya dengan Azmi mula serius baru-baru ini sahaja. Hubungan kami masih terlalu baharu lagi. Sebab itu saya nafikan yang saya ini menjadi punca kepada perceraian mereka.

“Saya masih ada otak untuk berfikir. Saya bukannya jenis yang akan kacau hal rumah tangga orang lain. Orang di luar sana mungkin boleh kata apa yang mereka mahu, menjatuhkan hukum kepada saya, tetapi perkara ini saya sendiri yang rasa.

“Saya kesian pada orang yang berada di kiri dan kanan saya yang terpaksa berdepan dengan perkara ini juga terutama keluarga saya apabila orang mula bercakap yang kononnya saya ini anak jenis apa? Jenis rampas hak orang? Saya bukan perampas,” luahnya, memetik laporan Kosmo Online.

Menurut Faye, sebolehnya, dia enggan memanjangkan lagi apa yang berlaku sekarang ini. Atas sebab itu jugalah, dia mengambil pendekatan untuk tidak memuat naik sebarang status di laman sosial seperti apa yang dilakukan Elly. Ini kerana, katanya, banyak hati yang perlu dijaga.

“Saya banyak berdiam sebab saya tidak mahu cerita-cerita begini memberi kesan kepada dua orang anaknya yang lain. Mungkin yang masih bayi itu tidak mengerti apa yang berlaku, tetapi ada dua orang anak lagi yang sudah besar dan boleh berfikir. Terpulanglah dia mahu kata apa selepas ini,” katanya yang bakal muncul dengan drama 7 Hari Mencintaiku arahan sutradara Jamal Khan.

Azmi dan Elly Mazlein bercerai pada 15 Oktober tahun lalu iaitu tidak sampai setahun selepas mereka mendirikan rumah tangga pada November 2014.

Related Articles