Kami memang pernah bersama, cuma situasi kami amat berbeza dengan pasangan lain – Neelofa

Neelofa berkata demikian menerusi rakaman video yang dimuat naik dan dikongsi peminat, termasuk penulis blog, Budiey, di laman sosial serta YouTube.

Beliau dan Fattah Amin dilihat cuba menjelaskan keadaan sebenar apabila hubungan mereka kononnya dikatakan hambar, hujung tahun lalu, sehinggakan bintang wanita itu tidak lagi mengikuti Instagram aktor terbabit.

Bagaimanapun, baru-baru ini Neelofa kembali menjadi pengikut Fattah di laman bergambar itu.

Lalu timbul persoalan, apakah ia gimik mahupun ‘drama’ baharu kerana kedua-duanya dijangka bergandingan lagi menerusi sebuah drama di bawah arahan Michael Ang? Mereka bagaimanapun menafikannya.

Baru-baru ini juga timbul gosip mengatakan Neelofa rapat dengan seorang kerabat diraja.

“Ramai yang ingat, masa cerita kami timbul awal-awal dulu, ia seperti memberi harapan palsu. Cinta yang digambarkan tidak wujud, hanya igauan, khabar angin, andaian semata-mata dan macam-macam lagilah yang diperkatakan orang. Kami juga sedar peminat harapkan jawapan pasti. Cuma dalam hal ini kami kena berhati-hati. Kami tak mahu menyakitkan hati banyak pihak.

“Kami mahu berlaku adil kepada semua supaya tidak wujud salah faham dalam perkara begini. Memang dari awal minggu ketika penggambaran SHMP, kami memang pernah bersama. Cuma, situasi kami amat berbeza dengan pasangan lain. Kami berada dalam industri yang membabitkan media, peminat, orang ramai dan mereka yang tidak mengenali kami.

“Lalu, dalam membuat sebarang keputusan membabitkan hal ini, kami kena fikirkan mereka semua. Kami kini memilih untuk berterus-terang kerana wujud cakap-cakap mengatakan semua hanya gimik, permainan dan seperti wujud penipuan,” katanya.

Neelofa berkata, ketika Fattah menerima lagu Wanita Terakhir yang ditujukan kepadanya, beliau turut mengetahui mengenai perkara itu.

“Tak wujud istilah Fattah guna nama saya untuk mempromosikan lagu itu. Saya sendiri bersetuju dia menyanyikan lagu berkenaan. Ketika Fattah merakamkan lagu itu pun saya ada di studio rakaman. Kalau ada yang kata kami berdua nak guna populariti dan impak Lofattah (gelaran untuk gandingan mereka berdua dan peminat kedua-duanya) untuk buat duit dan menggunakan peminat, sudah banyak produk kami lakukan bersama,” katanya.

Neelofa turut berharap, walau apa pun yang terjadi antara mereka, dia sentiasa ingin terus bersikap profesional dengan pelakon lelaki berkenaan.

“Apa jadi sekalipun, saya sentiasa hendak bekerja dengannya. Saya nak okey dengannya sampai bila-bila. Tak kiralah bagaimana emosi dan tekanan sekalipun. Saya memang tidak mahu bergaduh dengannya. Ini jawapan ikhlas saya dan bukan kerana anda semua ada di depan kami (merujuk kepada peminat yang hadir ke acara berkenaan). “Harap Lofattah akan terus kekal tak kira apa jadi,” katanya.

Sementara itu, Fattah menafikan kemesraan dipaparkan bersama Neelofa selama ini hanya bersifat palsu dan memancing peminat.

“Kemesraan yang anda nampak sebelum ini adalah benar. Ia bukan harapan palsu kepada peminat. Lagu saya nyanyikan pun memang untuk dia (Neelofa).

“Cuma apabila kami terus berdiam, macam-macam cerita negatif pula timbul. Saya bukan hanya kasihankan diri sendiri dan Neelofa, tetapi juga peminat yang betul-betul menyokong perjalanan kami.

“Begitupun semua itu di luar kawalan kami. Apapun, seboleh mungkin teruslah menyokong kami. Jangan komen benda tak elok. Saya sayang Lofattah dan semua peminat. Antara saya dan Neelofa, saya masih mengharapkan daripada anda semua mendoakan yang baik-baik,” katanya. – BH Online

Related Articles