Kamal, 30, berkata, dia sudah bertemu dengan pelakon drama Jodoh Sebelah Pintu itu selepas pulang daripada penggambaran di Barcelona, Sepanyol beberapa hari lalu bagi memperbaiki hubungan yang dilaporkan berantakan sejak minggu lalu.
“Jangan dengan cakap orang luar tentang hubungan saya dan Emma, selagi ia belum keluar dari mulut kami berdua bermakna hubungan kami belum lagi berakhir.
“Saya sudah bertemu dengan Emma dan kami sedang berusaha memperbaiki hubungan ini,” ujarnya kepada mStar Online.
Kamal diminta penjelasan tentang laporan berita di ruangan pojok akhbar mingguan bahawa hubungan dia dan Emma Maembong sudah berakhir.
Laporan itu memberitau berita perpisahan tersebut disahkan oleh seorang rakan rapat aktres berkenaan.
Dalam pada itu, Kamal berkata, dia sudah penat untuk melayan berita berkaitan hubungan cintanya itu.
“Saya sudah penat nak layan berita begini, biarlah orang mahu cakap apa tentang hubungan kami. Saya nak berdiam sahaja dan kalau betul sudah putus saya akan beritahunya sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang bapa aktres tersebut Ismail Embong yang terlibat dalam kes samun baru-baru ini, Kamal berkata dia masih belum berkesempatan untuk melawat pelukis terkenal itu.
“Saya tahu tentang berita itu, beliau tidak ditahan di wad dan sekarang duduk di rumah kakak Emma, setakat ini belum sempat melawat lagi,” ujarnya.