Rozita atau lebih mesra dipanggil Che Ta, 43, berkata, dia yang sepatutnya bertolak pada Jumaat lalu tidak dapat menunaikan ibadah itu berikutan pergolakan yang berlaku di Arab Saudi baru-baru ini.
“Perancangannya ingin menunaikan umrah pada bulan Syawal ini sekeluarga dan sepatutnya bertolak pada Jumaat lalu.
“Tapi tak ada rezeki kami untuk ke Mekkah kerana visa tidak diluluskan. Insya-Allah mungkin jika keadaan kembali aman kami akan ke sana.
“Lagi pula memang impian saya untuk pergi bersama suami (Zain Saidin) sejak berkahwin lagi,” ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun, Rozita berkata, dia mengambil peluang ini untuk menyambung sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Tidak mengapalah, saya boleh sambung raya kerana banyak lagi baju raya yang belum sempat dipakai,” ujarnya.
Bercerita tentang kerjaya, Rozita berkata, dia menganggap bidang lakonan sebagai pendapatan sambilan sahaja.
Katanya, dia hanya berlakon untuk syarikat produksi Zeel Production atas permintaan syarikat tersebut.
“Saya tumpu pada bidang bisnes sahaja, berlakon hanya pendapatan sampingan dan saya hanya ambil tawaran dengan Zeel Production sahaja.
“Syarikat produksi sendiri pun saya tidak mahu berlakon,” ujarnya.