Gmie cemerlang, Elly Mazlien tarik diri dek tersinggung komen Ramli MS

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, berkata, keputusan untuk tidak meneruskan perjuangan di program berkenaan dibuat selepas berasa tersinggung dengan komen juri tetap Datuk Ramli MS.

“Secara jujur saya tersinggung dan kecil hati dengan komen Datuk Ramli MS yang menganggap saya hanya mendapat simpati pihak Astro untuk terus berada dalam program ini.

“Sebelum ini saya terima orang luar bercakap tentang itu, tapi bila Tok Ram (Ramli MS) sendiri yang bercakap, dia seperti mengiyakan apa orang cakap sebelum ini, saya sedih sangat,” ujarnya dengan memetik laporan mStar Online.

Elly ditemui selepas program konsert Gegar Vaganza 3 minggu keempat yang diadakan di sini, pada malam Ahad.

Penyanyi itu menyampaikan lagu Jangan Menangis Sayang berduet bersama penyanyi Acong.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu, dia nekad tidak meneruskan perjalanan pada program tersebut sekalipun diberi peluang layak ke minggu hadapan.

“Jika layak atau tidak ke minggu depan saya tetap ingin keluar dan tidak mahu terus berada dalam pertandingan ini.

“Saya masuk dalam program ini bukan untuk meraih simpati masyarakat terhadap kehidupan saya. Saya sedih bila perkara itu berlaku ketika bapa saya datang minggu ini semata-mata ingin menyaksikan persembahan saya,” ujarnya.

Bagaimanapun, Elly berkata, dia tidak menyimpan sebarang perasaan marah dan dendam kepada juri tetap tersebut.

Katanya, dia akur keputusan yang diberikan dan berjanji untuk terus menyokong rakan-rakan lain yang masih bersaing di pentas Gegar Vaganza 3.

“Saya reda dan terima keputusan itu dengan lapang dada, tidak apalah saya anggap sebagai tiada rezeki lagi di sini. Biarlah saya fokus kepada lakonan sahaja selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi yang popular pada tahun 90-an, Gmie daripada kumpulan Screen tampil cemerlang menerusi lagu pada Syurga di Wajahmu nyanyian asal Nash.

Tampil bersama gandingan mantap bersama bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-2, Nizam Laksamana dalam minggu duet, persembahan mereka mendapat komen positif daripada juri jemputan, Datuk Tarmimi Sinegar.

“Lagu Nash adalah lagu bunuh diri. Tapi Gmie saya takut kamu ‘terkucil’ tapi kamu tidak ‘terkucil’

“Persembahan kamu berdua alhamdulillah, satu lagu yang menyeksakan.. tahniah”, ujarnya.

 

Related Articles