Fattah Amin, 27, berkata, dia sentiasa mendoakan yang terbaik terhadap apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Neelofa selain mahu melihat pelakon wanita itu menemui kebahagian dalam kehidupannya.
“Sebagai kawan dan sahabat, saya mendoakan kebahagiaan dalam apa sahaja keputusan yang dilakukan. Saya juga sentiasa memberi sokongan apa yang baik untuk kehidupan dan masa depan dia,” ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.
Fattah mengulas tentang kenyataan Neelofa pada malam Isnin yang mengesahkan dia kini sedang berkawan baik dengan seorang kerabat diraja.
Mereka pernah dilihat keluar bersama sehingga perkara itu menjadi tular di laman sosial dan dibincangkan di forum-forum Internet.
Dalam pada itu Fattah mengambil pendekatan untuk tidak mengulas lanjut tentang perkara itu bagi menjaga hati banyak pihak.
“Saya tidak boleh komen kerana ia melibatkan banyak pihak dan saya tidak mahu kenyataan saya akan menimbulkan perkara yang buruk,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fattah berharap peminat-peminat yang mengharapkan hubungan percintaan dia dan aktres itu sehingga ke jenjang pelamin terus memberi sokongan kepada mereka biarpun mereka tidak bersama.
Kata Fattah, dia sudah pun menjelaskan situasi hubungannya dan Neelofa kepada peminat-peminatnya pada majlis bertemu peminat yang diadakan minggu lalu.
“Saya sangat terharu sokongan peminat yang masih kuat terhadap kami walaupun drama Suri Hati Mr Pilot sudah lama berakhir. Saya mahu mereka terus menyokong kerjaya kami selepas ini biarpun kami mempunyai pasangan masing-masing,” ujarnya.
Sebelum ini Neelofa dan Fattah dikatikan sebagai pasangan bercinta sehinggalah peminat memperkenalkan hastag #Lofattah di media sosial sebagai menyokong percintaan mereka.