Memulakan pengajiannya pada 2010, Dr. Soo Wincci tekad untuk memberi sumbangan terhadap industri hiburan tempatan apabila memilih topik Strategi-Strategi Penjenamaan Peribadi Selebriti Terhadap Media Sosial Atas Talian sebagai kajiannya.
“Saya menghabiskan masa sekurang-kurangnya enam tahun untuk membuat penyelidikan, mengumpulkan data, mengkaji beratus-ratus jurnal dan menemuramah beberapa selebriti bagi tujuan menyiapkan tesis.
“Ternyata ia bukan sesuatu yang mudah kerana dalam masa yang sama, saya juga masih aktif berlakon dan menyanyi yang merupakan salah satu daripada sumber pendapatan utama saya,” katanya.
Menurutnya, bagi memastikan masa depan yang lebih terjamin serta merealisasikan impian untuk berbakti kepada negara, Dr. Soo Wincci akui terpaksa mengorbankan masa peribadi terutama waktu tidurnya demi kerjaya dan pendidikannya.
Bagaimanapun, beliau berasa puas kerana pengorbanannya berbaloi setelah berjaya mengakhiri segala kepayahan yang dilalui dengan menggenggam skrol PhD daripada Open University Malaysia.
Dr. Soo Wincci adalah Miss World Malaysia 2008 yang mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Sunshine Coast, Australia, memetik Utusan Online.