Pasangan berkenaan bakal keudara menerusi program yang diberi nama CTDK-ation mulai Januari tahun depan.
Memetik laporan Kosmo Online, pengumuman itu dibuat Siti, 37, dan suaminya yang popular dengan panggilan Datuk K, 57, ketika pasangan itu muncul secara langsung dalam program A.M. Live! di Astro Ria pada pukul 9 pagi Isnin.
“Saya bersedia untuk berkongsi apa yang berlaku dalam kehidupan kami bersama peminat. Kami tidak bimbang tentang kritikan kerana sudah lali dengannya,” luah Datuk K ketika ditemui di program berkenaan.
Menariknya, program realiti tersebut akan dirakam ketika Siti buat pertama kalinya bercuti bersama keluarga besar Datuk K di beberapa buah negara seperti Portugal, Sepanyol, Dubai, Emiriah Arab Bersatu selama 21 hari bermula 2 November depan.
Seramai 29 orang ahli keluarga Datuk K akan menyertai percutian serta rakaman program realiti tersebut.