Awie terpaksa rahsia tarikh dan tempat kahwin demi keselamatan bakal isteri

Dia yang bertunang pada 3 Jun lalu di Hotel Vistana, Bukit Jambul, Pulau Pinang, bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh dan lokasi sebenar majlis pernikahannya yang kali ketiga itu.

“Saya akan berkahwin pada bulan ini, bila dan di mana saya tidak boleh beritahu demi keselamatan saya dan bakal isteri.

“Saya tidak pernah berahsia sebelum ini. Malah kalau boleh saya memang mahu berkongsi saat bahagia saya dengan peminat.

Tetapi kali ini saya minta maaf,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Wings 30 Tahun ‘Live’ di Kota Kinabalu yang berlangsung di G Tower Kuala Lumpur, di ibu negara pada Selasa.

Menjelaskan keputusan ini dengan lebih lanjut, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, dia membuat keputusan tersebut kerana ia berkaitan dengan penyakit mistik yang dialami dirinya dan bakal isteri.

“Saya sudah menerima beberapa rawatan susulan dengan doktor tetapi penyakit yang dialami kaki saya tidak sembuh. Ketika ini juga saya menggunakan khidmat pengamal perubatan Islam. Bukan saya sahaja malah bakal isteri saya turut menerima nasib yang sama.

“Itu sebab utama saya tidak dedahkan tarikh dan lokasi perkahwinan saya. Sebab kalau boleh tidak mahu perkara ini mengganggu. Namun apa yang boleh saya kongsi perkahwinan ini akan mengambil tempat di tepi pantai,” katanya dengan memetik laporan Utusan Online.

Sementara itu, pelakon utama filem Sembilu itu bernikah dengan Arni pada 10 Disember 1998 dan disahkan bercerai oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 16 Oktober 2006.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua anak perempuan, Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14, yang kini di bawah jagaan Awie.

Ketika ini juga Awie masih dalam proses perceraian dengan Rozana Misbun. Melalui perkahwinan kedua ini Awie turut dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Related Articles