Astro mohon maaf video parodi Yuna – Usher

Program tersebut dalam satu kenyataan di twitter mengakui kesilapan berkenaan dan sudah memadam video yang dimuat naik di laman sosial mereka.

“Kami ingin meminta maaf atas siaran parodi MeleTOP baru-baru ini atas klip video lagu Crush dendangan Yuna & Usher yang disiarkan pada siaran langsung MeleTOP pada 2 Ogos lalu.

“Sekali lagi, kami di pihak krew dan warga kerja #MeleTOP ingin memohon maaf di atas penyiaran video tersebut,” tulisnya pada Khamis.

Pihaknya juga meminta orang ramai supaya tidak berkongsi video parodi berkenaan.

Program hiburan berbahasa Melayu itu dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Neelofa.

Terdahulu, program hiburan tersebut telah memuat naik video parodi lagu Crush nyanyian Yuna dengan menampilkan Jihan Muse dan pelakon komedi Syuk Joras (SJM) yang digelapkan wajahnya seolah-olah Usher.

Sementara itu, penyanyi Yuna turut meluahkan rasa kesalnya atas penyiaran video parodi yang bersifat perkauman itu boleh membunuh kerjayanya di sana.

Tambah Yuna, parodi tersebut seolah-olah menghina orang berkulit hitam. – mStar Online

Related Articles