Menurut Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 35 keputusan itu dibuat kerana tidak mahu kontroversi perkahwinan keduanya terus menjadi buah mulut sekali gus menyebabkan ada hati yang terluka.
“Saya ada sebab tertentu mengapa saya tidak berkongsi langsung gambar isteri kedua saya di Instagram.
“Bagi saya, media sosial ialah senjata paling berkesan untuk mengundang spekulasi yang akhirnya memakan diri. Mengapa kita perlu dekat dengan bahan api kalau kita tahu ia boleh membahayakan diri?
“Lagipun, antara media sosial dan solat, mana yang lebih wajib? Lebih baik saya bimbing isteri saya ke arah yang lebih baik daripada sibuk dengan media sosial.
“Dalam hal ini, kita kena ingat, ia bukan saja membabitkan kedua-dua isteri, tetapi juga ibu bapa kedua-dua belah pihak. Perkara itu yang saya kena jaga,” jelasnya ketika ditemui pada majlis memasang poster gergasi filem Hanyut di ibu negara, pada Rabu.
Ditanya adakah isteri keduanya ada mempersoalkan mengenai perkara terbabit, Adi berkata, biarlah beliau seorang saja yang tahu mengenai perkara itu.
“Kalau saya bercerita panjang mengenai perkara ini, lebih baik saya cerita keseluruhannya, maknanya dengan pekung-pekung sekali. Sama ada isteri saya itu mempersoalkannya atau tidak, biarlah ia menjadi rahsia saya,” katanya.
Mengenai kemungkinan kedua-dua isterinya sudah pun dipertemukan, pelakon drama Cinta Si Wedding Planner ini menjelaskan, biarlah perkara itu berlaku dengan sendiri.
“Saya tidak gemar mengatur atau membuat perancangan dan lebih selesa membiarkan sesuatu itu berlaku dengan sendirinya. Biarlah kehidupan ini berjalan seperti air yang mengalir,” ujarnya berkias.
Dalam sidang media khas sebelum ini, Adi mengesahkan dirinya sudah pun bernikah lagi dengan seorang wanita dikenali sebagai Nor Shahida Zolkifly pada 20 Jun lalu, memetik laporan BH Online.