Filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2), meraih kutipan lebih RM1 juta selepas empat hari tayangan di Malaysia dan Brunei.
Filem yang dibintangi Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra itu sebelum ini mencatat kutipan melebihi RM300,000 pada hari pertama tayangannya.
Pengurus Pemasaran Filem Primeworks Distribution, Rabiatul Addawiah Samueil berkata, walaupun berjaya mencapai sasaran, pihaknya menjangkakan kutipan yang lebih tinggi pada masa-masa mendatang.
“Kami mensasarkan sebanyak 500,000 penonton sehari. Pun begitu, kami bangga kutipan diterima dan yakin jumlah itu akan terus meningkat,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Berikutan pencapaian memberangsangkan AADC2, Rabiatul berkata, pihak pawagam akan menambah 10 panggung di seluruh negara.
“Sejak hari pertama tayangan, filem itu disaksikan lebih 80,000 penonton tempatan dan Brunei,” katanya.
Filem arahan Riri Riza itu sememangnya menjadi karya dinanti-nantikan peminat setianya selepas 14 tahun Ada Apa Dengan Cinta arahan Rudy Soedjarwo menemui penonton di panggung
Filem terbitan tahun 2002 itu mengisahkan keteguhan cinta antara dua watak, Rangga dan Cinta, sejak di bangku sekolah.
Dalam filem susulan ini, selepas sembilan tahun terpisah dan memutuskan hubungan cinta yang sekian lama terjalin, Rangga kembali ke Indonesia bagi menambat semula hati Cinta yang sudah disunting oleh lelaki lain.
Sebanyak 90 panggung di seluruh negara dibuka untuk tayangan filem yang turut dibintangi Titi Kamal, Ladya Cherill, Sissy Priscillia, Adinia Wirasti, Dennis Adhiswara dan Mang Diman itu. Filem yang memulakan tayangan secara serentak di Malaysia, Indonesia dan Brunei.