Zahid minta rakyat Sarawak beri peluang pada Jamilah

Timbalan Perdana Menteri menegaskan keyakinan itu bersandarkan semangat Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang cukup utuh dalam kalangan penduduk di kawasan terbabit yang mana legasi itu akan diteruskan oleh balu beliau, Puan Sri Jamilah Anu.

“Pemilihan Puan Sri Jamilah (Anu) sangat tepat dalam meneruskan kesinambungan perkhidmatan arwah suaminya kepada rakyat di sana (Tanjong Datu).

“Kita mengharapkan kemenangan tanpa bertanding dalam PRK Tanjong Datu, namun sekiranya berlaku pertandingan sekali pun, kita yakin tidak menghadapi laluan sukar kerana sokongan rakyat di peringkat akar umbi, malah kita akan membantu beliau (Jamilah) berkempen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tahun Baharu Cina 2017 Bersama Timbalan Perdana Menteri, di Kuching pada Jumaat.

Beliau berkata sewajarnya peluang diberikan kepada balu Adenan untuk berkhidmat kepada rakyat, termasuk meneruskan agenda perjuangan arwah.

“Difahamkan, ada lapan borang (pencalonan) dibeli. Belilah, tidak mengapa tetapi tidak perlulah hantar. Berilah peluang kepada beliau (Jamilah), kita harap mesej ini sampai kepada pihak berkenaan.

“Terlalu besar jasa dan pengorbanan Tok Nan untuk negeri ini ketika hayatnya. Sewajarnya penghormatan diberikan terhadap sumbangan beliau,” katanya.

Ahmad Zahid turut menghargai komitmen parti pembangkang, termasuk PAS, PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) yang secara rasmi mengumumkan tidak bertanding sebagai menghormati Tok Nan.

“Kita mungkin berbeza fahaman politik, tetapi kita bersatu dalam satu semangat ‘Anak Sarawak’,” katanya. -BH Online

Related Articles