Rakyat Malaysia Ambil Peluang Terakhir Daftar, Kemas Kini Maklumat PADU

KUALA LUMPUR: Orang ramai di seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berakhir hari ini, sama ada secara dalam talian mahupun menerusi kaunter fizikal.

Menurut status di laman Facebook PADU Official, rekod pengemaskinian maklumat individu sehingga 12 tengah hari tadi telah mencapai 10.85 juta individu daripada 30.08 juta rekod individu dalam sistem berkenaan berbanding 10.61 juta individu setakat 11.59 malam semalam.

Di SELANGOR, kaunter pendaftaran fizikal dibuka pada program khas peringkat komuniti, antaranya Program Lawatan Mesra Datuk Bandar dan Pendaftaran PADU bersama Ketua Perangkawan Malaysia di Flat Seri Aman, Petaling Jaya di sini dengan pengunjung hadir seawal 9 pagi untuk mendaftar.

Rata-rata penduduk yang ditemui memuji saha kerajaan dalam memastikan rakyat dapat mendaftar PADU secara fizikal yang dapat menjimatkan masa serta memudahkan penduduk, terutama golongan warga emas yang tidak mempunyai kemahiran mengunakan gajet untuk mendaftar secara dalam talian.

Pada masa sama, orang ramai dilihat beratur lebih 30 meter seawal 7.30 pagi di luar Pusat Maklumat Rakyat (PMR), Jabatan Penerangan Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Anggerik Mall, Shah Alam untuk mendaftar dan mengemas kini sistem itu secara fizikal.

Di JOHOR, pemandu lori, M. Chandran, 49, dari Ulu Tiram ketika ditemui di perkarangan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Johor berkata beliau memanfaatkan cutinya hari ini untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat pada hari terakhir berikutan kekangan waktu sebelum ini.

“Saya hendak kemas kini hari ini sebab saya tidak mahu terlepas dan tercicir untuk menerima apa-apa bantuan dari kerajaan. Saya memilih datang ke sini kerana kalau ada apa-apa masalah mereka boleh membantu,” katanya.

Di PERLIS, suri rumah Ani Saad, 52, dari Pauh, Arau ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini berkata beliau hadir ke kaunter fizikal PADU pada hari terakhir bersama suami untuk mengemas kini maklumat masing-masing kerana rumah mereka mengalami gangguan perkhidmatan internet.

Rosmah Wahab, 64, seorang ibu tunggal yang juga dari Arau berkata beliau datang ke pasar raya itu semata-mata untuk mengemas kini maklumat PADU di kaunter berkenaan kerana tidak memiliki telefon pintar.

Di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Komtar, PULAU PINANG, Khatijah Nordin, 63, dan suami Ridzuan Othman, 71, berkata beliau telah mengemas kini sendiri maklumat PADU pada Jumaat lepas, namun terdapat sedikit masalah pada butiran gambar dan hadir ke kaunter fizikal untuk menyempurnakan pendaftaran itu. – Bernama

Related Articles