PRK Tanjong Datu: SPR sasar 75% keluar mengundi

Beliau berkata, pada pilihan raya negeri Mei tahun lalu, kerusi Tanjung Datu mencatatkan peratusan mengundi sebanyak 70.10 peratus.

“Maka, kita mengharapkan peratusannya meningkat kepada 75 peratus pada PRK kali ini.

“Sekiranya kita dapat mencapai angka itu, ia sudah dikira cukup baik,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon untuk PRK Tanjong Datu di Sarawak, semalam.

Beliau juga menggesa pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri itu supaya keluar beramai-ramai untuk menunaikan hak masing-masing sebagai pengundi.

Mohd Hashim juga mengingatkan semua parti dan calon yang bertanding supaya mematuhi peraturan pilihan raya yang telah ditetapkan bagi memastikan suasana pilihan raya yang aman.

Katanya, tempoh rasmi berkempen bermula hari ini selepas selesai proses penamaan calon sehingga 12 tengah malam 17 Feb ini dan mana-mana calon yang berbuat demikian selepas tempoh berkenaan pihak SPR dan polis berhak untuk mengarahkan ia dihentikan.

Beliau berkata SPR telah menubuhkan sebuah pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi memantau aktiviti berkempen sepanjang tempoh rasmi berkempen selaras dengan peruntukan Seksyen 27 (B) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada PRK kali ini, calon Barisan Nasional (BN), balu Adenan, iaitu Datuk Amar Jamilah Anu akan dicabar calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) baru, Rapelson Richard Hamit dan calon Parti Reformasi Sarawak (STAR) Johnny Aput. –Bernama

Related Articles