Operator Kilang Ditawar RM50,000 Hantar Syabu RM2.57 Juta

KUALA KANGSAR: Seorang operator kilang yang dibayar upah sehingga RM50,000 bersama seorang rakannya ditahan di Perak semalam kerana menjadi “transporter” syabu lebih 51kg bernilai RM2.57 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Khaw Kok Chin berkata, serbuan dilakukan kira-kira 4.10 petang hasil maklumat dan intipan 30 minit ke atas sebuah bangunan di Kuala Kangsar yang dipercayai menjadi lokasi persinggahan suspek.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 33 dan 31 tahun itu muncul di lokasi dengan menaiki Mercedes Benz yang membawa muatan syabu di but belakang.

“Pemeriksaan pada bonet belakang kereta yang dipandu suspek berusia 31 tahun itu menemui tiga beg berzip warna hitam.

“Dua beg masing-masing berisi 17 bungkusan oren disyaki mengandungi methamphetamine atau syabu serta sebuah beg hitam berisi 16 bungkusan dadah sama.

“Jumlah rampasan dadah disyaki syabu itu adalah seberat 51,501 gram (51.5kg) dianggarkan bernilai RM2.57 juta, sekali gus rampasan dadah terbesar di Perak tahun ini,” katanya menurut Harian Metro di IPD Kuala Kangsar hari ini.

Khaw berkata, sindiket yang dipercayai mula aktif sejak empat bulan lalu itu mendapat bekalan dadah dari negeri utara, sebelum menghantarnya menggunakan kereta untuk pasaran di Perak, termasuk Kuala Kangsar.

Katanya, jumlah rampasan dadah itu dianggarkan mampu menampung permintaan sehingga 500,000 penagih.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek 33 tahun diberi upah RM50,000 bagi setiap penghantaran dadah, sementara rakannya yang juga jurupendawaian hanya dibayar RM500.

“Saringan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine, dengan operator kilang itu turut mempunyai rekod lampau pelbagai kesalahan berkaitan dadah,” katanya sambil menambah dua suspek direman tujuh hari hingga 23 Mac ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -Harian Metro

Related Articles