Jurulatih Renang Dikaitkan Gangguan Seksual Direhatkan – Menteri

KUALA LUMPUR: Jurulatih dikaitkan dengan kes gangguan seksual membabitkan perenang para negara direhatkan sehingga siasatan dakwaan salah laku itu selesai, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Katanya, sebaik laporan itu diterima baru-baru ini, Pegawai Perlindungan Majlis Sukan Negara (MSN) menemui atlet terbabit untuk melindungi hak mereka menerusi kod Sukan Selamat yang dilancarkan 15 Mac 2023.

Beliau menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap jurulatih terbabit jika terbukti bersalah menerusi siasatan polis yang sedang dijalankan.

“Selepas dapat e-mel dalam akaun macam surat layang dan laporan polis dibuat, kita terus rehatkan dulu jurulatih untuk pastikan siasatan berlangsung.

“Tetapi, kalau (e-mel) surat layang ini betul, MSN akan ambil tindakan terus…tetapi kalau pelaporan semua ini terus berjalan dan (e-mel) surat layang itu tidak benar, saya boleh jangka tindakan undang-undang akan datang,” katanya selepas merasmikan seminar Kod Sukan Selamat: Antigangguan Seksual Dalam Sukan di Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau turut memaklumkan sebahagian perenang para negara mahukan khidmat jurulatih itu diteruskan dalam persiapan ke Sukan Paralimpik Paris 2024 pada 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Yeoh berkata, MSN akan meneliti permintaan itu sebelum sebarang keputusan dibuat kerana ia membabitkan keselamatan atlet.

“Sekarang ini tuduhan melibatkan jurulatih dan polis sedang jalankan siasatan. Jadi, kita tidak boleh ganggu siasatan tersebut, tetapi ada atlet telah meminta supaya jurulatih ini (sama) terus melatih mereka. Ini jurulatih yang bersama mereka sejak 2017…jadi sudah lama.

“Atlet meminta (untuk jurulatih sama mengajar) kerana (mereka) akan bertanding di Sukan Paralimpik nanti di Paris, beberapa bulan lagi kerana mereka tidak mahu proses persediaan ke Sukan Paralimpik terganggu.”

Beliau mengesahkan tiada jurulatih baharu untuk menggantikan jurulatih berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengesahkan seorang jurulatih para disiasat atas dakwaan gangguan seksual terhadap seorang atlet para bawah umur.

Menurut laporan, Presiden MPM Megat D Shahriman Zaharudin memaklumkan badan induk itu membuat laporan polis selepas menerima e-mel berhubung perkara itu daripada Persatuan Renang Para Malaysia (MPSA), manakala MSN pula menegaskan tidak menerima laporan atau aduan daripada atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu pada 27 Feb lalu. –Bernama

Related Articles