Ketua Wanita PKR itu berkata, kejayaan Pakatan Harapan menawan Johor sebagai ‘front-line’ pada pilihanraya akan datang bermakna kejayaan menawan Putrajaya sekali gus menumbangkan Barisan Nasional (BN).
Katanya, kepimpinan tertinggi parti juga berhasrat untuk meletakkan calon berprofil tinggi di negeri yang dijangka dilanda gelombang tsunami kedua.
“Saya tidak gentar malah bersedia membantu parti dan Pakatan Harapan untuk menawan negeri yang disasarkan pada PRU14 khususnya Johor yang menjadi ‘front-line’..malah saya juga bersedia meninggalkan (Parlimen) Ampang yang disifatkan sebagai kerusi selesa untuk beralih tempat.
“Malah kepimpinan tertinggi juga turut memberi galakkan serupa untuk meletakkan calon bersifat ‘high profile’ bagi menawan negeri yang masih diperintah BN kerana rakyat mula menunjukkan isyarat akibat muak dengan pelbagai skandal yang terpalit dengan pemerintah selain tertekan dengan kos sara hidup,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.
Zuraida juga yakin selain mampu mengekalkan pemerintahan di Selangor dan Pulau Pinang, Pakatan Harapan juga bakal menumbangkan BN di empat negeri akibat tsunami politik seperti Johor, Kedah, Perak dan Sabah berikutan keputusan beberapa pemimpin meninggalkan Umno.
Katanya, pengundi Melayu juga telah mempunyai pilihan lain selain Umno selepas tertubuhnya Parti Pribumi Bersatu (PPBM) yang diterajui Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru katanya tidak mustahil pembangkang mampu menawan negeri yang bersifat 50-50 seperti Melaka dan Negeri Sembilan pada pilihanraya akan datang.