Zunar bebas dengan jaminan polis

Kelima-lima mereka berjalan keluar dari ibu pejabat polis Dang Wangi kira-kira pukul 12 tengah malam selepas mereka ditahan polis dalam satu majlis kutipan dana bersama peminat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).

Selain Zunar, empat yang ditahan adalah pembantu jualannya, Megat Abdul Wahid dan Lawrence Jeyaraj, ahli DAP Jimmy Wong dan seorang peminat yang hanya mahu dikenali sebagai A.Toong.

Nicole Tan, peguam kepada lima individu itu berkata Zunar, Megat dan Lawrence disiasat di bawah Seksyen 124c Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Jimmy dan Toong bagaimanapun disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas mereka,” katanya memetik laporan mStar Online.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan kerana majlis kutipan dana merupakan acara tertutup bersama peminatnya.

“Saya kerugian kira-kira RM30,000 apabila mereka merampas buku komik saya selepas menahan saya di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Saya cuba untuk memulihkan kerugian saya menerusi acara ini tetapi mereka merampas sejumlah buku bernilai RM30,000 sekali lagi pada hari ini,” katanya.

Zunar mendakwa telah diberitahu polis bahawa mereka akan memohon perintah mahkamah untuk mengharamkan buku-buku tersebut.

Related Articles