Seorang pemimpin lama sedang berjuang untuk menjatuhkan kerajaan dan membuat tuduhan sama yang pernah dilemparkan kepadanya semasa beliau berkuasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib dalam ucapan audio yang dipetik dari laman web miliknya, NajibRazak.com hari ini berkata, pemimpin yang digelarnya sebagai “91 tahun” itu menuduh perjuangan Umno sudah lari daripada perjuangan beliau dahulu sebagai alasan untuk menarik orang masuk ke dalam parti beliau dan memecah belahkan orang Melayu.
“Sepanjang 40 tahun perkhidmatan saya dalam kerajaan, saya mempunyai perjuangan saya tersendiri iaitu untuk memajukan agama, bangsa dan negara saya.
“Namun, sejak akhir-akhir ini, ada seorang pemimpin lama mula menghasut rakyat, mengatur langkah dari dalam dan luar negara untuk menuduh saya dengan perkara-perkara yang sama beliau dituduh semasa beliau berkuasa.
“Beliau menuduh perjuangan parti saya sudah lari daripada perjuangan beliau dahulu sebagai alasan untuk menarik orang masuk ke dalam parti beliau dan memecahbelahkan orang Melayu,” katanya.
Tanpa menyatakan nama pemimpin lama itu, Najib turut mengakui terdapat perbezaan perjuangan antara zaman kini dan zaman pemimpin lama itu.
“Memang benar perjuangan dulu dan sekarang berbeza. Dulu beliau yang berumur 91 tahun ini memperjuangkan kemerdekaan. Sekarang saya memperjuangkan kemajuan negara,” katanya.
“Kita semua tahu parti politik baru pemimpin lama itu sedang berjuang untuk menjatuhkan kerajaan, sampai sanggup bersekongkol dengan parti cauvinis yang pemimpinnya sudah didakwa melakukan rasuah. Siapakah yang sebenarnya tersasar daripada perjuangan?”
Ucapan audio berdurasi 2.06 minit itu berkata, sebagai seorang manusia, hidup ini perlu ada tujuan bagi memberi makna dalam hidup kita, atau dalam erti kata lain, hidup ini adalah sebuah perjuangan.
“Apakah usaha kami membina infrastruktur seperti MRT, BRT, LRT, Lebuhraya Pan Borneo, RAPID Pengerang, kota Iskandar untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, bukan satu perjuangan? Apakah penyediaan bantuan kerajaan seperti Teraju, Tekun, bantuan-bantuan 1Malaysia, PR1MA, e-Kasih, UTC, RTC untuk kemudahan rakyat bukan satu perjuangan?” soal Najib.
“Apakah usaha memajukan sukan sehingga mencapai keputusan paling cemerlang dalam sejarah bukan satu perjuangan?”
Najib bagaimanapun berkata, beliau dan anggota Kabinet akan tetap komited untuk memajukan negara.
“Biarlah apa mereka kata, saya dan Jemaah Menteri akan terus komited dalam perjuangan kami memartabatkan agama, bangsa dan negara,” katanya.