Zahid minta Muhyiddin tunjuk bukti wang masuk ke akaun Najib

Bercakap kepada media selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Jene­ral Prawit Wongsuwan pada Isnin, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata tuduhan yang dileparkan Muhyiddin perlu berdasarkan bukti kukuh.

“Minta beliau (Muhyiddin) kemukakan bukti jika ada.

“Beliau tuduh Perdana Menteri kita, jadi mesti tunjukkan bukti. Jangan membuat tuduhan berdasarkan khabar angin,” katanya.

Terdahulu bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa hampir RM1 bilion telah berada dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebelum kemasukan RM2.6 bilion dilapor secara meluas.

“Sah tuan-tuan. Saya tengok, waktu peguam negara itu ialah Gani Patail. dia tunjuk dengan saya, macam saya nak pengsan ada duit banyak itu dalam akaun Datuk Seri Najib.

“Tengok duit masuk akaun peribadi. Sebenarnya disebutkan peguam negara dahulu, sebelum dia juga nasibnya sama macam saya dipecat, dah ada hampir RM1 bilion dalam akuan Datuk Najib sebelum itu.

“Jadi semua yang disebutkan hampir RM4 bilion dalam akaun perdana menteri. Kamu percaya tak,” soalnya dalam satu ceramah di Ketereh, Kelantan semalam seperti dilapor sebuah portal.

 

Related Articles