Beliau berkata pembangun aplikasi itu sedang berbincang dengan kerajaan negeri mengenai perkara tersebut, dan pengumuman rasmi mengenai perkhidmatan itu akan dibuat pada 21 Nov.
“Jika anda melaporkan jalan berlubang (di Waze), kami akan menyalurkan data berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan supaya dapat diturap dengan segera.
“Kami memberikan data itu secara percuma kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Pengangkutan Awam Bandar 2016, di sini hari ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata sebelum ini bahawa usaha sama dengan Waze itu akan memperkukuh inisiatif penyelesaian pintar kerajaan negeri.
Beliau berkata enam majlis perbandaran, termasuk Ampang Jaya (MPAJ), Kajang (MPKJ), Shah Alam (MBSA), dan Petaling Jaya (MBPJ), akan terlibat dalam projek itu.
Edward berkata projek perintis itu merupakan inisiatif pertama Waze di Malaysia dan kedua di Asia Pasifik selepas pelaksanaan di Jakarta, Indonesia.
Beliau berkata pemaju aplikasi itu sudah memulakan inisiatif berkenaan di lebih 100 bandar raya di seluruh dunia termasuk Boston, Washington DC, Sydney dan Rio De Janeiro.
Ditanya jika terdapat kes laporan palsu oleh pengguna waze, beliau berkata data waze merupakan sumber daripada orang ramai dan Waze begantung kepada komuniti untuk menyemak ketepatannya.
“Saya yakin lokasi itu yang disokong oleh gambar yang dirakam pengguna waze, 99.9 peratus tepat.”
Waze ialah apliksi pemanduan dan trafik berasaskan komuniti, terbesar di dunia.
Ia sudah beroperasi di Malaysia sejak 2008 dengan kira-kira dua juta wazers, nama yang merujuk kepada pengguna aplikasi itu, di kawasan Lembah Klang setakat ini.
Edward berkata Malaysia menduduki ranking lima negara teratas di dunia dari segi pengguna aktif perkapita.–Bernama