Wartawan, jurukamera asing ditahan disyaki ceroboh HSK di Gua Musang

Wartawan dan jurukamera itu dikesan menceroboh kawasan hutan itu dipercayai untuk membuat liputan televisyen berkaitan dengan kes kekecohan melibatkan kumpulan Orang Asli mendirikan halangan dan pondok secara haram di kawasan HSK berkenaan bagi tujuan mengganggu pengeluaran balak melalui kawasan itu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Datuk Zahari Ibrahim berkata dua lelaki itu yang berumur 36 dan 46 tahun, dipercayai wakil sebuah agensi berita yang berpangkalan di Singapura ditahan pukul 9 pagi Selasa.

“Mereka ditahan kerana disyaki memasuki hutan simpan kekal berkenaan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 47(1) Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993),” katanya.

Zahari berkata kedua-dua individu berkenaan masih ditahan untuk siasatan bagi mengetahui motif sebenar mereka masuk ke kawasan hutan simpan kekal berkenaan.

Pada Isnin, lima individu dipercayai aktivis Orang Asli ditahan kerana disyaki menjadi dalang dalam perbuatan mendirikan halangan dan pondok secara haram di kawasan HSK di Gua Musang.

Kumpulan lelaki itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan untuk meroboh pagar halangan di laluan masuk ke HSK itu, membabitkan 133 orang pegawai dan anggota JPNK, Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dan Polis Diraja Malaysia. – Bernama

Related Articles