Warganegara Thailand Cuba Seludup 14,000 Pil Dadah

LANGKAWI : Seorang lelaki warganegara Thailand ditahan ketika cuba menyeludup masuk sebanyak 14,000 pil methamphetamine seberat 1,330 gram di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal Feri Langkawi dekat sini, minggu lalu.

Pengarah Kastam Negeri, Nor Izah Abd. Latiff, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang, Rabu lalu oleh sepasukan pegawai kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Narkotik Langkawi setelah dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemeriksaan awal dijalankan terhadapnya menemukan satu bungkusan berwarna biru yang dibalut rapi mengandungi 11,600 pil methamphetamine seberat 1,102 gram.

“Lelaki itu kemudiannya dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan Langkawi untuk siasatan. Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemukan 2,400 pil ‘Yaba’ seberat 228 gram dalam beg pinggang berwarna hitam yang dipakainya.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 14,000 pil methamphetamine seberat 1,330 gram ditemukan dengan nilainya dianggarkan RM210,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Nor Izah berkata, tindakan dilakukan pihaknya berjaya membanteras dadah-dadah tersebut daripada diedarkan kepada kira-kira 14,000 penagih.

“Lelaki itu dipercayai cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan melalui kawasan pemeriksaan kastam tanpa bagasi dan hanya membawa bungkusan barangan untuk kegunaan sendiri secara ‘hand carry’ dengan harapan tidak diperiksa kastam.

“Ujian urin dijalankan terhadapnya mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine. Suspek telah direman selama seminggu hingga esok untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang 15 sebatan.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan sentiasa memantau ketat pintu sempadan negara terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeludup barang larangan.

“JKDM juga menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan penyeludupan dengan menyalurkan maklumat menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.

“Kami memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – Getaran.my

Related Articles