Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Mahassan berkata dua lelaki warga Pakistan yang memandu teksi di Bukit Bintang ditahan menerusi operasi khas yang dijalankan oleh pihaknya di sekitar ibu negara bermula pukul 8 malam tadi.
“Mereka tidak mempunyai lesen memandu yang sah mahupun lesen perkhidmatan awam tetapi berani membawa penumpang menaiki teksi,” katanya pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhammad Kifli berkata dua lelaki berusia 39 dan 40 tahun itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut manakala kenderaan teksi yang dipandu mereka disita bagi membantu siasatan.
Beliau berkata pihak JPJ akan mengemukakan laporan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) supaya mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan yang memberikan kebenaran kepada individu warga asing memandu secara haram.
Katanya laporan itu akan turut menggesa SPAD supaya mengenakan tindakan sewajarnya kepada syarikat teksi yang didapati membenarkan warga asing menjalankan perkhidmatan kenderaan awam tanpa lesen.
“Siasatan awal mendapati kegiatan ini semakin meningkat sejak awal tahun ini,” katanya.
Justeru, Muhammad Kifli meminta penumpang teksi yang menemui pemandu warga asing supaya melaporkannya kepada pihak JPJ untuk diambil tindakan.
Selain itu, dua lelaki terdiri daripada warga Indonesia dan India berusia lingkungan 40-an ditahan pada operasi yang sama di Jalan Genting Sempah kerana memandu lori tanpa lesen.
Kedua-dua tahanan turut diserahkan kepada Jabatan Imigresen manakala lori yang dipandu oleh mereka disita untuk disiasat.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 23 dan 56 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu dan lesen perkhidmatan awam.
Beliau berkata operasi yang dijalankan oleh seramai 24 anggota dari Ibu Pejabat JPJ Putrajaya sehingga awal pagi tadi turut mengeluarkan sebanyak 170 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan jalan raya di sekitar ibu negara. – Bernama