Warga Emas Keji Suara Bilal Diarah Jalani Pemeriksaan Mental

GEORGETOWN: Mahkamah Majistret hari ini mengarahkan wanita yang didakwa memasuki ruang solat lelaki dan mengeluarkan ungkapan kurang sopan di Masjid Jamek Ar-Rahman dekat Batu Feringghi di sini, diarah menjalani pemerhatian psikiatrik selama sebulan.

Perintah itu dikeluarkan Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi, terhadap Sofiah Abdul Majid, 65, apabila tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa.

“Berdasarkan pemerhatian mahkamah, tertuduh kurang stabil dan perlu menjalani pemerhatian di hospital mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

“Tertuduh diminta datang semula ke mahkamah bersama keputusan tersebut pada 19 April 2024 , jam 9 pagi,” katanya.

Terdahulu, Sofiah turut mencetuskan suasana kecoh ketika dia dalam keadaan tangan bergari cuba menendang kamera Jurugambar NSTP, Mikail Ong sebanyak dua kali dalam perjalanan menuju ke kamar mahkamah.

Mengikut pertuduhan, wanita terbabit didakwa membuat pernyataan zahir di Masjid Jamek Ar-Rahman, Batu Feringghi dengan menyatakan bahawa imam dan bilal di masjid tersebut membaca al-Quran seperti anjing menyalak dan dirasuk hantu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 12 Mac lalu kira-kira jam 10 malam dengan niat sengaja untuk melukakan perasaan keagamaan individu tersebut.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa, Sofiah tidak menjawab sama ada dia memahami atau tidak, sebaliknya menyifatkan semua kandungannya sebagai tidak benar.

“Itu perkataan seseorang terhadap saya. Sebab itu semua bohong bagaimana saya faham? Saya tidak faham kerana ia pembohongan. Itu ‘common sense’,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kes ditangguh sehingga 19 April ini untuk menunggu laporan psikiatri. -Berita Harian

Related Articles