PETALING JAYA: Imigresen menumpaskan sindiket ejen pekerja asing didalangi warga Bangladesh dan Myanmar yang mengenakan bayaran di antara RM1,500 hingga RM2,000 bagi setiap permohonan pendaftaran program Rekablirasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.
Ketua Pengarahnya Ruslin Jusoh berkata sebelum ditahan di Jalan Duta, Kuala Lumpur semalam pihaknya telah menjalankan risikan terhadap kegiatan kumpulan menyasarkan pekerja Bangladesh dan Indonesia itu selama dua minggu.
Menurutnya, dalang utama iaitu lelaki Myanmar dan Bangladesh berusia 50 hingga 52 tahun telah ditahan, kedua-duanya berkahwin dengan wanita tempatan serta memiliki dokumen pemastautin tetap dan pas lawatan kerja sementara.
Sebahagian daripada RM91,950 dan dokumen dirampas daripada sindiket ejen pekerja asing. (Gambar Jabatan Imigresen Malaysia)
Turut dirampas wang tunai RM91,550, pasport Indonesia serta Bangladesh, dokumen syarikat, borang permohonan program RTK dan tiga unit telefon bimbit.
“Sindiket ini menawarkan perkhidmatan seperti urusan pendaftaran permohonan program RTK 2.0 di pejabat Imigresen dan dipercayai telah menjalankan operasi selama satu tahun.
“Bayaran dikenakan bagi setiap pekerja asing ini di antara RM1,500 hingga RM2,000,” katanya dalam kenyataan.
Ruslin berkata suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk melengkapkan siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963
“Dua lelaki dan seorang perempuan tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“Imigresen akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. –Free Malaysia Today