Wanita Mengaku Salah Beri Anak Susu Bancuhan DadahK

by Anis

UALA LUMPUR: “Saya mengaku bersalah, tapi saya tidak sengaja puan (beri minum susu mengandungi dadah),” kata ibu yang didakwa memberikan susu yang bercampur air mengandungi dadah jenis Methamphetamine di sebuah apartment, minggu lepas.

Terdahulu wanita kepada tiga anak itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada hari ini.Suri rumah berumur 34 tahun itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Bagaimanapun suaminya yang juga peniaga air balang yang berumur 40 tahun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia setahun empat bulan dengan memberi minum air susu bercampur dengan air yang mengandungi dadah berbahaya jenis Methamphetamine sehingga menyebabkan mangsa mengalami “allegedsympathomimetic drug ingestion” di sebuah apartment di Taman Medan, Petaling Jaya pada 6 petang, 19 Februari lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.“Dua tertuduh ini merupakan pasangan suami isteri tetapi mereka tidak mendaftarkan perkahwinan di sini (Malaysia),” kata Ahmad Zuhaini selepas ditanya hakim mengenai hubungan kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam.

Syahliza membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai serta tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 13 Mac untuk sebutan kes. – Bernama

Related Articles