KUALA LUMPUR: Polis menyelamatkan wanita tempatan dan kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks dalam serbuan di sebuah lot kedai yang dijadikan rumah pelacuran di Banting, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, bayi perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki turut diselamatkan.
Menurutnya, premis itu diserbu pada pukul 3.30 petang selepas pemerhatian oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Kegiatan dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dan menyasarkan pelanggan warga asing.
Premis sudah diubahsuai menjadi empat bilik dengan menggunakan langsir.
“Polis menahan wanita tempatan berusia 56 tahun yang berperanan sebagai ‘ibu ayam’ dan dua wanita warga asing berusia 57 dan 45 tahun dipercayai pelacur.
“Polis berjaya menyelamatkan wanita tempatan berusia 25 tahun; kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang disyaki dipaksa melacur; kanak-kanak lelaki empat tahun dan bayi berusia 11 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, bayi berkenaan adalah anak kepada wanita yang diselamatkan, manakala, polis masih menyiasat status dua lagi kanak-kanak.
Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM). – MalaysiaGazette