Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffudin Yusof, berkata mangsa berusia 32 tahun yang memangku anaknya berusia 22 hari sedang berehat dalam kereta jenis Proton Wira manakala suaminya membeli barang di kedai runcit, jam 4.30 petang itu.
Katanya, suspek yang menyerbu masuk ke dalam kereta terbabit terus mengarahkan mangsa keluar daripada kenderaan itu.
“Mangsa yang ketakutan memangku anaknya terjatuh atas jalan ketika cuba keluar dari kenderaan hingga mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala manakala bayinya tidak cedera.
“Kejadian itu dipercayai berlaku terlalu pantas dan suami mangsa tidak sempat berbuat apa-apa apabila keretanya dibawa lari suspek. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shariffudin berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan suspek dan kenderaan yang dilarikan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri, dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda,” katanya.