Wan Saiful Mohon Maaf Terhadap Agong, PM, Tarik Dakwaan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan secara terbuka membuat permohonan maaf berikutan kenyataannya dalam Dewan Rakyat yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa.

Beliau turut memohon keampunan daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) kerana menyentuh nama baginda.

“Seperti mana saya sudah sebut sebelum ini semasa perbahasan 8 Febuari, saya sebut satu perenggan iaitu ‘korupsi itu menyalahgunakan kuasa’, ada gangguan dan saya sambung ‘orang itu yang mengadap Tuanku Agong setiap minggu sebelum mesyuarat Kabinet, yang saya memang tujukan terhadap Ahli Parlimen Tambun (Anwar),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi peluang kepada Wan Saiful menyuarakan hasrat untuk memohon maaf sebelum usul menggantungnya enam bulan dibentangkan.

Usul berkenaan sepatutnya dibentang oleh Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Johari berkata, isu tersebut sudah selesai berikutan Wan Saiful telah menarik kenyataannya dan membuat permohonan maaf.

“Ini bermaksud Tasek Gelugor minta maaf kepada Tambun dan tarik balik kenyataan juga mohon ampun kepada Agong, jadi saya terima dan Menteri, saya anggap kita boleh selesaikan,” katanya yang enggan perkara tersebut dipanjangkan.

Susulan itu, Ahmad Zahid bingkas bangun dan menarik balik usul dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) tersebut.

Ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja minggu lalu Wan Saiful mendakwa Anwar menyalahgunakan kuasanya.

Kenyataannya itu mencetuskan kekecohan dalam dewan sehingga memaksa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menarik balik kenyataannya. – MalaysiaGazette

Related Articles