KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa Perdana Menteri, menerusi wakilnya sudah menyerahkan dokumen perjanjian kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Beliau yang juga Ketua Armada BERSATU, berkata tidak semua perkara perlu dimaklumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada setiap orang di sekelilingnya.
“Bukan semua benda PMX nak cerita dengan kamu macam dia buat ‘deal’ dengan Bagan Datok dulu. Memanglah Timbalan Perdana Menteri dan kamu tak tahu. Bukan ‘fake news’,” katanya dalam satu hantaran di platform X, di sini, hari ini.
Hantaran itu dibuat bagi menjawab kenyataan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari, yang mendakwa tiada apa-apa perjanjian atau perbincangan mendalam mengenai perjanjian dengan pembangkang.
Dr Mohammed Taufiq mendakwa, pembangkang mula ‘menjual’ cerita yang tidak sahih dan menyifatkan mereka sinonim dengan berita palsu.
Semalam, dalam satu kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, menyatakan tidak timbul wujudkan draf perjanjian baharu itu seperti yang didakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, pertemuan di Parlimen pada 19 Mac lalu hanya mendengar permohonan PN dan apa yang mereka tawarkan, namun tiada sebarang dokumen diberi atau pun diterima. -Berita Harian