Wan Azizah dalam satu kenyataan berkata, dalam demokrasi yang sihat, pertandingan politik yang adil dan sama rata mewajibkan parti-parti politik pihak pemerintah dan pembangkang diberi peluang sama bertemu pengundi dan menjalankan aktiviti politik yang sah mengikut undang-undang.
“Selagi tiada undang-undang yang dilanggar, kekangan dan halangan tidak patut dikenakan.
“Apa yang berlaku sekarang jelas menunjukkan parti-parti pembangkang diberi layanan berbeza berbanding BN. Mengapa seorang Exco kerajaan negeri dan ahli Parlimen dihalang dari masuk (Sarawak) walhal mereka tiada rekod jenayah atau terlibat sebarang skandal, manakala seorang presiden parti Umno yang terpalit pelbagai skandal dan kontroversi di dalam dan luar negeri diberi layanan cukup baik?,” katanya.
Sehubungan itu, Azizah menggesa pentadbiran Sarawak di bawah ketua menterinya, Tan Sri Adenan Satim menghentikan amalan menghalang ahli politik khususnya pemimpin Pakatan Harapan melakukan kerja politik mereka menjelang pilihan raya negri yang semakin hampir.
“Saya berharap Adenan bersikap adil dan terbuka serta membenarkan kami masuk untuk melakukan kerja-kerja politik yang dibenarkan undang-undang dan Perlembagaan. Marilah kita sama-sama melakukan yang terbaik buat masa depan rakyat Sarawak,” katanya.
Azizah berkata, sudah pasti Adenan mahu menonjolkan pentadbiran yang lebih baik dan adil berbanding pentadbiran sebelum ini.
Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin menjadi pemimpin pembangkang ternaharu yang dihalang memasuki Sarawak tanpa diberikan sebarang alasan terhadap larangan tersebut.