6 maut wad ICU Hospital Sultanah Aminah terbakar

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 9 pagi itu, wad ICU dua tingkat berkenaan yang terletak di bahagian selatan hospital telah terbakar.

Pesakit turut di bawa turun dan ditempatkan di tempat letak kenderaan yang merupakan tapak berhimpun untuk kecemasan di perkarangan HSA.

Memetik laporan Berita Harian, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, berkata pihaknya masih giat melakukan operasi pemadaman kebakaran selain menyelamat mangsa terperangkap.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Sulaiman Salleh mengesahkan enam pesakit maut dalam insiden tersebut, dengan 4 disahkan pesakit wanita manakala 2 lagi merupakan pesakit lelaki, dan seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Othman Abdullah berkata seramai 166 anggota bomba dan 10 jentera dikejarkan ke HSA sebaik sahaja panggilan diterima pada 8.56 pagi tadi.

“Di ICU itu ada tujuh mangsa yang memang agak kritikal keadaannya yang difahamkan oleh doktor mereka terpaksa menggunakan bantuan pernafasan dalam keadaan normal jadi pesakit-pesakit itu tidak boleh dipindahkan sekiranya tiada katil sekali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan, Datuk Dr Noorhisham Abdullah berkata pihaknya sedang menunggu pengesahan laporan awal mengatakan tujuh pesakit di wad ICU maut akibat kebakaran itu.

“Saya difahamkan tujuh pesakit di wad ICU meninggal dunia kerana terperangkap dan lemas, 13 kakitangan cedera termasuk tiga parah.

“Kita akan siasat punca kebakaran. Masih terlalu awal untuk mengesahkan apa-apa setakat ini.

“Bangunan hospital itu bangunan lama, kita tidak tahu lagi apa punca sebenar,” katanya kepada pemberita sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Darah (JKMD) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen, hari ini.

Related Articles