Jamal membuat pengumuman tersebut sebaik sahaja beliau dibebaskan selepas direman selama lima hari di Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya di sini jam 7 malam tadi.
“Hari ini saya ingin mengumumkan berkemungkinan akan melepaskan jawatan saya sebagai Ketua UMNO Bahagian, Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Sg. Besar, Pengerusi NGO Selangor dan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia.
“Bagi saya jawatan yang dipegang untuk masyarakat ini tidak dapat dipergunakan sepenuhnya sebaliknya selepas ni saya akan mengusahakan perniagaan judi haram seperti taukey-taukey judi yang lain kerana usahakan judi haram ini mempunyai kekebalan, keistimewaan berbanding jawatan-jawatan sebagai pemimpin masyarakat,” katanya.
Pengerusi Gabungan Ngo Gerakan Merah itu ditahan reman selama lima hari oleh Hakim Majistret Mohd Firdaus Sadina Ali di Mahkamah Majistret Ampang selepas beliau dan beberapa pengikutnya menyerbu premis mesin judi untuk membongkar kegiatan tidak bermoral di sekitar kawasan Selangor.
Jamal ditahan atas dakwaan samun berkumpulan apabila pemilik pusat judi berkenaan membuat laporan polis beberapa barang di premis berkenaan hilang dalam serbuan yang dibuat oleh Jamal sebelum ini.
Credit Photo: The Star