Beliau telah dijemput oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk hadir ke majlis makan malam pada Khamis, dan kedua-dua pemimpin itu dilihat mesra dalam satu sesi nyanyian.
Mereka telah menyanyikan lagu Shalala Lala, yang dipopularkan oleh Vengaboys bersama-sama dan berdasarkan video yang disiarkan oleh penasihat presiden Filipina Jesus Dureza di Facebook, Najib kelihatan gembira pada sesi tersebut.
Sorakan dan tepukan daripada pegawai-pegawai kerajaan dan tetamu lain yang menghadiri majlis makan malam itu dapat didengari, dengan beberapa orang daripada mereka turut menari ketika kedua-dua pemimpin menyampaikan nyanyian.
“Persembahan hebat oleh pemimpin atasan yang berkaliber. Muzik benar-benar menyatukan,” netizen Romy Garzon menulis di laman Facebook Dureza.
Seorang lagi netizen, Anselma Diaz Fiel, mengulas: “Ini apa yang patut pemimpin-pemimpin dunia lakukan, mencipta kenangan indah bersama-sama dan berkhidmat kepada rakyat dengan ikhlas!”
Selain menyampaikan lagu bersama tuan rumah dari Malaysia, Duterte juga menyanyikan lagu Wind Beneath My Wings.
Namun Najib juga menyanyikan lagu The Young Ones secara solo, dengan Toto Dante Susi memberi komen di Facebook: “The ‘young once’ not the ‘young ones’ anymore..Hehe”
Duterte berada dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia, lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini.
Filipina telah membenarkan pasukan keselamatan Malaysia masuk ke kawasan perairannya untuk menahan penculik dan kumpulan militan di pantai timur Sabah, memetik mStar Online.