Video berdurasi 2:12 minit berkenaan dipercayai berlangsung dalam sesi soal jawab Setiausaha Agung DAP itu bersama penduduk di kawasan tersebut susulan cadangan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya negeri mengejut.
Individu yang hanya dikenali sebagai Azhar, dan mengakui dirinya sahabat dari PKR menyarankan agar Guan Eng berehat sementara kes rasuah yang dikenakan terhadapnya masih diperingkat mahkamah.
“Saya sarankan Guan Eng bercuti dululah sementara (kes) dalam proses mahkamah ni,” katanya, yang turut dilihat memakai baju tertera logo PKR.
Sebaik sahaja soalan tersebut diajukan kepada Guan Eng, keadaan menjadi kelam kabut dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke dipercayai mengarahkan soalan tersebut tidak perlu dijawab.
Sebelum itu, pengacara majlis berkenaan berkata, mereka akan menerima soalan daripada hadirin kerana mahu bersikap telus dan terbuka kepada rakyat.
“Parti DAP merupakan satu parti yang berani berdepan dengan rakyat. Tadi saudara Anthony kata kami bersedia adakan pilihan raya tergempar Pulau Pinang.
“Jadi pada malam ini untuk tunjukkan pimpinan kita berani, terbuka menghadapi rakyat. Saya akan membuka ruang kepada saudara, saudari untuk tanya tiga soalan. Maksudnya seorang satu soalan kerana masa amat suntuk,” katanya pengacara majlis tersebut.
Hubungan DAP dan PKR sedikit keruh sejak kebelakangan ini susulan keputusan DAP untuk melaksanakan pilihan raya negeri mengejut, dan PKR dilihat seakan tidak bersetuju dengan perkara itu.
Pemimpin-pemimpin kedua-dua parti juga dilihat bertegang urat di laman-laman media sosial mempertahankan tindakan parti masing-masing.