Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Johor mesti menjadi inspirasi parti keramat itu di seluruh negara.
“Jika ingin UMNO terus memerintah maka usaha mengekalkan kuasa itu mesti bermula di tanah kelahirannya ini. Kita harus mempunyai kesederan yang mendalam dalam hal ini.
“Johor mesti menjadi inspirasi bukan sahaja untuk mengekalkan kuasanya malah memerintah dengan lebih cemerlang, ” katanya berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor 2016 di Hotel Holiday Villa di Johor Bahru malam tadi.
Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, jika UMNO ditolak di Johor, maka parti itu akan ditolak di seluruh negara dan apa lagi yang boleh dipertahankan jika parti itu tidak diterima di tanah kelahirannya.
“Masa depan UMNO sebenarnya berada di sini. Johor adalah nadi dan nafas UMNO,” ujarnya memetik laporan Utusan Online.