Kenyataan itu ditulis Saiful menerusi warkah buat Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman Facebook pada Khamis.
“Biarlah beliau (Anwar) menjalani hukuman, kelak akan bebas jua akhirnya, berkemungkinan lebih awal jika berkelakuan baik.
“Nasihat saya, usah cemarkan wadah baru Bersatu yang ibarat bayi masih suci ini dengan kekotoran.
“Dalam kamus politik berdusta itu kononnya tidak salah, tapi dalam agama berdusta tak kira dalam politik atau tidak, ia sama sahaja semasa perhitungan di masyar nanti,” katanya.
Difahamkan, Saiful menulis warkah berkenaan bagi mengulas laporan media yang memetik Muhyiddin sebagai menyokong pembebasan Anwar serta berikrar untuk menjadikannya agenda perjuangan parti itu.
Dalam pada itu, Saiful berkata, perjuangan berlandaskan kebatilan adalah sukar untuk berjaya malah Muhyiddin tidak perlu gentar untuk memperoleh sokongan sekiranya beliau yakin wadah baru ini adalah benar.
“Apatah lagi memohon pertolongan ‘sokongan’ dari makhluk yang Tan Sri sendiri tahu kebenarannya dan sudah diputuskan bersalah oleh Mahkamah.
“Belum terlambat untuk perbetulkan namun jika Tan Sri (Muhyiddin) beranggapan ‘jalan pintas’ ini jalan terbaik, maka saya ucapkan selamat ‘maju’ jaya,”katanya.
Tambah Saiful, sebagai pihak yang berkepentingan dalam kes ini, beliau mempunyai ‘locus standi’ untuk mengulas apa yang diperkata oleh Muhyiddin sebelum ini.