KUALA LUMPUR: UMNO berterusan menolak cadangan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming bagi mencalonkan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menurut Timbalan Presiden UMNO dan Menteri Luar Negeri itu, Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak ada apa-apa keperluan untuk menjadikan kampung baru Cina sebagai tapak UNESCO ketika ini.
“UMNO sudah keluarkan kenyataan menyatakan pendirian kami. Usaha Menteri KPKT ini bukan mudah. Jadikan tapak UNESCO bukan sesuatu yang mudah, perlukan rundingan, perlu bawa ke Kabinet jika perlu pindaan bawa ke Parlimen untuk diluluskan.
“UMNO rasa itu bukan keperluan wujudkan kampung baru Cina sebagai tapak UNESCO,” katanya kepada media selepas sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini hari ini.
Semalam, Setiusaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun menjadikan kampung Cina sebagai tapak UNESCO adalah untuk memperkasakan sektor pelancongan negara tetapi UMNO berpandangan implikasi terhadap cadangan ini terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung.
Jelas Asyraf, cadangan seumpama tersebut hanya akan merosakkan keharmonian Kerajaan Perpaduan, mencetuskan polemik tidak perlu dalam kalangan rakyat bahkan tidak selari dengan dasar Malaysia Madani yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun Mohamad Hasan menafikan pendirian UMNO dalam isu ini akan merenggangkan hubungan antara mereka dan DAP.
“Pendirian UMNO tidak akan jejaskan hubungan antara kita dan mereka (DAP). Kita hanya nyatakan pendirian. Jadi sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, kita perlu saling hormat menghormati,” ujarnya.
Sebelum ini, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan dilaporkan berkata, cadangan mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan itu yang diasaskan sejak 76 tahun lalu. – MalaysiaGazette