Memetik laporan Sinar Harian, Jawatankuasa Penaja Bersatu, Anina Saadudin berkata, tindakan UMNO yang mahu nama Bersatu dipertimbang semula tidak berasas.
“Bersatu adalah kata nama dan banyak lagi NGO lain yang guna kata nama itu, contohnya Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Jadi, dari sudut mana yang mereka kata ia mengelirukan?
“UMNO tidak perlu campur tangan, biarlah ROS buat keputusan urus tadbir mereka dengan bebas,” katanya.
Pada Rabu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa ROS mempertimbangkan semula nama parti Bersatu dalam permohonan parti politik kerana dianggap bakal mengelirukan rakyat.
Anina berkata, UMNO tidak perlu tergugat dengan Bersatu jika ia hanya parti nyamuk seperti dilabel pemimpin Umno sebelum ini.
“Mereka kata Bersatu parti nyamuk dan bakal terkubur tidak lama lagi. Mereka (UMNO) perlu sedar, kami hanya serpihan mereka, jadi tak perlu rasa tergugat,” katanya.
Katanya, Tengku Adnan seharusnya beri tumpuan kepada UMNO dan hapuskan politik wang yang berleluasa di dalam parti itu.